Labels

Thursday 1 March 2012

isu semasa : Politiking di universiti bawa kesan negatif

Isu politiking dalam perebutan jawatan naib canselor di sesebuah universiti tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan memecahbelahkan hubungan di kalangan ahli akademik universiti berkenaan. 

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, fokus utama universiti adalah untuk mewujudkan sebuah universiti terulung dan bukannya merebut sesuatu jawatan tertinggi. 

''Sekiranya memang ada politiking dalam universiti, kita sebenarnya tidak mampu mencari seorang naib canselor yang benar-benar berkelayakan. 

''Apabila politiking mula berleluasa, dibimbangi akan wujud pilih kasih dalam kenaikan pangkat bagi sesebuah universiti itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Beliau diminta mengulas mengenai cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu semua universiti di negara ini mengurangkan 'politiking' dalam perebutan jawatan naib canselor. 

Najib berkata, perkara itu merupakan satu budaya yang tidak sihat kepada pendidikan tinggi negara selain mengingatkan kepada pengurusan universiti bahawa pemilihan jawatan tersebut hanya ditentukan oleh badan penilai yang berkenaan sahaja. 

Tambah Mohd. Puad, pandangan Perdana Menteri itu perlu diberi perhatian yang serius dan ia perlu diperbetulkan segera. 

''Saya menyambut baik cadangan Perdana Menteri kerana tindakan merebut jawatan naib canselor sememangnya tidak sihat dan tidak perlu diamalkan," ujarnya. 

Sementara itu, Mohd. Puad memberitahu, seseorang bakal naib canselor perlu bebas daripada sebarang tingkah laku politiking. 

''Naib canselor yang akan dipilih itu nanti perlu memiliki beberapa kriteria yang membolehkan dia layak memegang jawatan tersebut. 

''Antara kriteria yang perlu ada pada individu itu adalah beliau perlu mempunyai tahap kepimpinan yang tinggi, memiliki intelektual yang baik dan memberikan sepenuh komitmen terhadap kerja yang telah dipertanggungjawabkan kepadanya," katanya.

No comments:

Post a Comment