Labels

Friday 2 March 2012

Contoh Teks Syarahan PSUB (Pertandingan Syarahan dan Ujian Bertulis): Bahasa Kebangsaan Nadi Perpaduan


Contoh Teks Syarahan PSUB (Pertandingan Syarahan dan Ujian Bertulis)Bahasa Kebangsaan Nadi Perpaduan

YANG kurik itu kundi, yang merah itu saga, yang cantik itu budi, yang indah itu bahasa. Begitulah indahnya tajuk syarahan yang akan saya sampaikan “Bahasa Kebangsaan Nadi Perpaduan”. Seuntai kasih sekalung budi pengacara majlis, kombinasi hakim yang arif lagi berkarisma, dif-dif kehormat dan warga dewan yang saya muliakan, salam mesra dan salam perpaduan. Bahasa Kebangsaan Nadi Perpaduan secara keseluruhannya membawa maksud bahasa merupakan elemen penting yang menjadi tunjang kepada perpaduan rakyat di negara kita. Hadirin yang saya kasihi, Faktor utama yang menjadi teras kepada terbinanya perpaduan hari ini ialah bahasa yang digunakan bersama. Hal yang demikian kerana sejarah telah membuktikan bahawa bahasa Melayu telah menjadi bahasa komunikasi semenjak zaman kesultanan Melayu Melaka sehinggalah negara kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Oleh itu, nyatalah bahasa iaitu bahasa Melayu menjadi komponen penting perpaduan yang membawa kepada kemerdekaan. Hadirin yang budiman, Perkara 152 Perlembagaan Negara ada mengkanunkan bahawa bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu. Ini membuktikan sejak dahulu pemimpin pelbagai kaum telah sepakat perlu adanya satu bahasa yang mampu menyatupadukan seluruh rakyat. Hubungan yang intim akan terjalin apabila semua rakyat berkomunikasi antara satu sama lain menggunakan satu bahasa. Kita bukan sahaja berkongsi negara, malahan kita sanggup berkongsi bahasa atas nama perpaduan bak kata pepatah ” Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”. Hadirin sekalian,


Malaysia telah membuka mata dunia apabila rakyatnya yang berbilang bangsa dan agama dapat bersatu dan hidup aman damai di bawah satu Jalur Gemilang.


Cuba fikir sejenak, mampukah negara kita menikmati kemajuan dan kemakmuran tanpa bahasa? Tentunya tidak, hadirin sekalian. Sejarah telah membuktikan bahawa tanpa perpaduan negara akan menemui kehancuran. Justeru, perpaduan antara kaum amat penting untuk menjamin kemajuan dan kestabilan serta kesejahteraan rakyat. Oleh itu, bahasa bukan sahaja pemangkin untuk mengintegrasikan warga negara kita, malahan merupakan aset penting untuk menjana kemajuan dan kestabilan yang berterusan. Sidang hadirin, Perahu sudah di air, pendayung sudah di tangan, apa lagi yang kita tunggu? Mari, marilah kita bersatu dengan satu bahasa demi keutuhan negara tercinta. Sekian, terima kasih. *Peserta di atas telah dinobatkan sebagai Johan Negeri Perak

No comments:

Post a Comment